Friday, 4 September 2015

Syria. Apa yang berlaku?

Aku yakin kita perlu tahu isu apa sebenarnya yang sedang berlaku di Syria. Kerana tak mustahil ia akan berlaku di negara Malaysia juga. Kenapa? Dengan Jimbit yang entah apa-apa, pembangkang yang asyik membangkang sesama sendiri, dan rakyat yang masih tak tahu ke mana arah tuju dan perjuangan negara kita.

Isu di Syria bermula pada tahun 2011, di sebuah bahagian Syria dinamakan Deraa, apabila 15 orang pelajar sekolah ditahan kerana melakukan grafitti anti-kerajaan pada sebuah dinding awam.

Rakyat Syria pada waktu itu turun berdemonstrasi untuk memprotes tindakan kerajaan yang bertindak menahan dan dilaporkan telah mendera 15 orang kanak-kanak tersebut. Demonstrasi yang menggesa kerajaan melepaskan kanak-kanak tersebut, menuntut demokrasi dan kebebasan rakyat di negara itu pada mulanya aman, namun respon kerajaan pada 18 March 2011 yang telah menembak mati 4 orang demonstran telah menimbulkan kemarahan awam. Pada hari yang berikutnya pula, mereka menembak orang yang menziarahi kubur mangsa. Rakyat begitu geram dan marah. Sesetengah daripada mereka berpindah (migrasi) ke negara lain.

Pada mulanya, para demonstran hanya mahu menuntut demokrasi dan kebebasan rakyat. Akan tetapi setelah kerajaan bertindak sedemikian rupa, rakyat menuntut agar Perdana Menterinya, Bashar al-Assad untuk meletak jawatan.

Bashar al-Assad berkeras tidak mahu untuk meletak jawatan. Walaubagaimanapun, dia menawarkan untuk membuat beberapa perubahan tentang bagaimana negara itu ditadbir. Namun, rakyat (pembangkang) tidak mempercayai Bashar al-Assad lagi! (al-Assad juga masih mempunyai penyokong a.k.a macai yang masih menyokong dia dan kerajannya pada waktu itu)

Sebenarnya, rakyat tidak ada satu kumpulan pembangkang yang utuh untuk melawan Bashar al-Assad pada waktu itu. Para pembangkang yang mahu menjatuhkan Perdana Menteri berpecah kepada beberapa kumpulan parti politik dan pejuang pemberontak - kesemua mereka dianggarkan berjumlah 100,000 orang.

Pada Ogos 2013 pula, ibu negara Syria, Damascus telah diserang dengan serangan kimia yang menyebabkan kemarahan pelbagai negara di seluruh dunia. September 2013 - Syria dipastikan oleh inspektor United Nation bahawa memang ada senjata kimia yang digunakan di Syria, tetapi tiada laporan menyatakan pihak mana yang bertanggungjawab ke atas senjata kimia tersebut. Kerajaan Syria walau bagaimanapun menafikan bahawa mereka menggunakan senjata kimia yang ternyata dilarang di bawah undang-undang antarabangsa. Namun mereka menuduh pula pihak pembangkang yang telah menyebabkan serangan tersebut.

Pada awal tahun 2014 pula, oleh sebab kedudukan Syria terletak bersebelahan Iraq, satu kumpulan ekstremis atau dikenali sebagai Islamic State (IS) mula mengambil alih sebahagian besar daripada Syria. Mereka menindas dan bertindak ganas terhadap mana-mana orang yang tidak bersetuju dengan pandangan ekstremis mereka termasuklah penganut agama Kristian dan Yazidi. Kemudiannya IS ini berpindah ke timur Syria. Oleh kerana keributan masalah yang berlaku di Syria, IS mampu memperolehi tanah dan kuasa di sana.

Rakyat marhaen Syria terpaksa keluar dari rumah dan negara untuk menyelamatkan diri mereka dari ancaman keganasan dan peperangan selama ini. Setiap hari ada saja pelarian dari Syria berpindah ke negara-negara jiran - Jordan, Lebanon, Turki dan Iraq. Pada 2014, 6000 rakyat Syria merentas dari Turki ke Bulgaria, tinggal di sana di dalam bangunan-bangunan terbiar.

Lebih dari 3juta rakyat Syria yang telah keluar dari negara mereka, kebanyakan daripada mereka adalah wanita dan kanak-kanak. Ini adalah jumlah pelarian yang paling banyak sepanjang sejarah!

Lebih kurang 6.5juta rakyat yang lain, di mana 50% daripada mereka adalah kanak-kanak terpaksa meninggalkan rumah, tetapi masih berada di dalam negara tersebut. Mereka sedang terdesak memerlukan bantuan. Akan tetapi agensi bantuan menyatakan bahawa untuk membantu rakyat Syria yang masih berada di dalam Syria adalah sukar dan berbahaya. Sekarang, rakyat Syria yang sudah kehilangan rumah dan ahli keluarga, mereka hanya tinggal di kem sementara. Sementara negara-negara yang dikatakan 'kapiaq' seperti Jerman dan Sweden menerima beribu-ribu pelarian dari Syria, negara 'sanjungan' umat Islam, Arab Saudi dan beberapa negara lain pula menolak seorang pun kehadiran mereka.

Apa yang berlaku di sini adalah, kerajaan dan rakyat yang dikata pengkhianat tidak dapat menewaskan dan ditewaskan sesama sendiri. Malah mereka mencetuskan masalah yang lebih besar dengan kehadiran IS. Selain berperang sesama sendiri, mereka turut perlu menyerang balik menghapuskan kumpulan Islamic State yang semakin mengganas di negara mereka. Peperangan dan pertelagahan ini nampaknya amat susah untuk dihentikan, melainkan dicari pokok pangkal masalah dan diselesaikannya bersama. Perpaduan. Titik utama sesuatu kemajuan dan kerobohan. Oleh itu rakyat Malaysia, pro-pembangkang, pro-kerajaan dan non-partisan sekalian. Bersatulah melawan kezaliman. Bersatulah, walau kita ada banyak perkara yang boleh ditelagah. Kerana kebenaran yang tidak terancang itu mampu ditewasi oleh kejahatan yang terancang. Dan kezaliman itu tetap kezaliman walau ia dilakukan oleh orang yang kita sukakan. Buang sikap tak ambil tahu, walau kau di situ selesa, apa kau yakin orang lain pun juga? 

Terima kasih kepada rakyat Malaysia yang mampu membaca sampai habis (walaupun skip skip) hasil tulisan syok sendiri aku ini. Aku tahu, rakyat Malaysia ini malas membaca. Tak terperanjat lah beta kalau sejarah berulang semula hanya kerana rakyat Malaysia malas membaca. Tidak mengapa. Selamat maju jaya Malaysia! ;)







Thursday, 16 April 2015

SAMBUNGAN MAHASIS-WA GEDIK

Untuk mahasiswa yang merasa dirinya 'intelektual'. Kononnya merekalah 'wira' negara dengan sibuk ber-demonstrasi sana-sini. Alih-alih, kalau bukan isu pemimpin mereka, mereka hanya akan keluarkan isu yang sama diulas oleh 'pemimpin pilihan' mereka.

Pertama, aku tiada masalah untuk mereka utarakan isu pemimpin pilihan mereka. Tapi, aku ada banyak masalah apabila 24jam perjuangan mereka hanya terarah kepada pemimpin yang kononnya keadilan dunia ini sudah tiada apabila pemimpin mereka dipenjara. Perjuangan mahasiswa ini untuk rakyat, negara atau satu orang 'besar' sahaja? Kalaulah perjuangan mereka hanya untuk kebebasan 'satu orang' sahaja, maka bagi aku mahasiswa-mahasiswa ini dengan berjayanya telah diperguna.

"Eh uols. Perjuangan satu orang 'besar' ini lah mewakilkan ketidakadilan kepada semua rakyat"

Ye. Aku tak ada masalah untuk diperjuangkan pemimpin yang mana-mana. Tapi sebagai seseorang yang digelar 'Mahasiswa', mana isu perjuangan rakyat yang sepatutnya lebih diutama? Semakin hari, rakyat makin menderita. Yang miskin semakin papa, yang kaya semakin raya. Belum masuk isu penindasan jantina dan agama. Kalau lah isu-isu ini mampu dibutakan dengan isu jub#r dan penjara, maka aku tak tahu lagi apa kualiti yang ada pada kononnya "mahasiswa" selain jawab periksa* dan jilat pemimpin mereka.

Jilat pemimpin itu hal yang pertama. Yang keduanya, mereka ini tandus idea. Mereka hanya utarakan isu-isu yang lama. Itu tak apa. Tapi celakanya, cara mereka hadapi isu-isu ini pun dua kali lima dengan pemimpin parti politik mereka. Pandai menjerit isu negara, tapi tak dalami isu sebenarnya. Asyik memekak membangkang sahaja, tapi alternatif mereka tak punya. Kan aku dah kata! Tak ada beza dengan pemimpin parti politik mereka.

"Kami bantah GST! GST ini susahkan kami!"

"Jadi apa alternatif yang mahu kamu beri jika kita mansuhkan GST?"

"Ah, itu kerajaan fikirlah sendiri. Mereka yang bangkitkan isu ini"

Bagi mereka mahasiswa, hadirnya diri sebagai pembangkang adalah untuk membangkang semua agenda pemimpin negara. Itulah mentaliti yang akan dibawa nanti bila mereka memerintah negara. Kalau lah dari dulu sikap dan cara yang sama sahaja dibawa, aku tak yakin Malaysia akan terbiasa dnegan istilah "maju jaya".
Mereka lupa, wujudnya pembangkang dalam parti politik negara bukan sahaja membangkang buta, namun sebagai penyedia 'check and balance' kepada kerajaan sedia ada. Matlamat kita hari ini bukanlah sekadar perjuangan parti tapi negara dan rakyat yang masih tidak boleh berdiri di atas kaki sendiri. Gerakan mahasiswa sepatutnya sudah punya idea dalam penambahbaikan negara. Sekurang-kurangnya, pekikan membantah perlulah seiring dengan solusi yang berfaedah, bukan hanya sendiri menjilat apa diludah!

Kita tidak mahu melahirkan Anwar Ibrahim yang kedua, apalagi Najib Razak dan Mahathir pula. Kita mahu bina dan lahirkan mahasiswa yang punya idea dan caranya dalam kemajuan rakyat dan negara.
Jangan asyik bicara tentang kebebasan berpolitik kalau minda politik kau masih tidak bebas.
















MAHASIS-WA GEDIK

Kami Mahasiswa.
Kami mahukan kebebasan bersuara.
Kami mahu kebebasan memilih ketua.
Kerana kami mahasiswa
Kami mahu menjadi 'wira'
Biar apa orang kata
Biar idea kami tak ada
Biar intelek kami celaka
Asalkan kami nampak semangat
Asal saja kerajaan kami rembat.
Kerana kami mahasiswa.


Monday, 30 March 2015

Ingatkan Kami Tuhan

Tuhan
Ingatkan kami Tuhan
agar tidak mengingatiMu hanya bila datang kesedihan
Pasakkan dalam hati-hati kami kalimah-Mu,
agar kami dapat mengingatiMu setiap waktu.

Ingatkan kami agar tidak lupa -
bila kami lena dan jaga,
kami sakit dan bangkit,
kami dihina dan dicerca,
dipuji dan disanjungi,
dimarahi dan dibuli,
dicintai dan disayangi.

Ingatkan kami untuk mengingatiMu setiap masa
Ingatkan kami agar tidak melebihkanMu dari manusia, wang dan harta
Ingatkan kami agar tidak lupa bahawa hanya kepadaMu tempat kami kembali jua.

Peringatkan kami bahawa semua kesenangan, bahagia dan cinta hanyalah permainan dunia.
Kerana firman-Mu dunia ini tidak lain hanyalah senda.

Wahai Tuhan yang kaya rasa cinta,
Hanya Engkau Maha Memahami
tatkala hati disakiti
deritalah diri
pabila manusiawi membuang cinta ini bagai tiada erti.

Ampunkanlah diri ini Ya Rabbul Izzati
yang hampir lupa atau tidak menyedari
hakikat cinta yang sudah lama abadi di dalam urat nafas ini
dan lebih dekat dari urat leherku sendiri.
Sesungguhnya,
Hanya kepadaMu aku meminta belas cinta
Tiada anak Adam yang mampu memberi sepenuhnya
kerana anak Adam marah apabila diminta-minta,
Tapi Engkau suka jikaku selalu meminta.


SA- (penulis)


BAB 1

‘’Baba, Allah tu siapa?’’, Muhammad Muslim, anak kecil 7 tahun bertanya. Mulut dan otaknya ligat sekali berbicara.
Encik Zahar tersedak kopi. Hampir tersembur di atas kot mahalnya.  ‘’Allah tu Tuhan kita’’
‘’Allah kat mana sekarang? Baba pernah jumpa Allah?’’
‘’Em.. Allah berada di atas Arasy. Eh bukan, Dia ada di mana-mana’’ Zahar tergagap-gagap. Sudah lama dia tidak menghadiri kuliyah Ustaz Kazim. Rasa menyesal pula. Sudah banyak ilmu agama ditinggalkan begitu sahaja. Urusan dunia lebih bermakna, katanya.
Puan Anita terus buat-buat sibuk. Menggerak-gerakkan hidangan di atas meja tanpa tujuan. Ingin lari dari menjadi kaunter pertanyaan Muslim pula. Bukan dia tak tahu anaknya itu – petah berbicara, tidak padan dengan usia.
‘’Ehh Baba. Kalau Allah di mana-mana,  Dia ade dalam perut Muslim tak? hehe’’
Zahar hampir ketawa. Anita terpana ; terbeliak kedua matanya.
‘’Muslim, jangan kurang ajar sangat dengan Tuhan kita!’’, herdik Anita. Kali ini Zahar pula terbeliak mata melihat wajah Erra Fazira isterinya bertukar singa. Tidak sangka. Isteri yang tidak pernah menyentuh sejadah kini benar-benar marah bila Islam diterjah. Tak diduga. Isteri yang ‘kuat minum’ kini mual bila Tuhan disoal.
‘’Wow, ustazah pilihan. Hahaha’’ gelak Zahar.
‘’Abang, ni bukan soal ustazah pilihan. Ini soal Tuhan. Jangan buat main!’’
Muslim memandang meja sepi. Keliru masih berbaki. Kalau Tuhan di mana-mana, dimanakah itu ‘’di mana-mana’’? Atas meja? Dalam dapur? Dalam tandas?
Muslim menggaru garu kepala.
                                   



Jam 11 malam.
Anita menghempas pintu bilik, wajahnya muram. Zahar tersenyum melihat isterinya, biasalah wanita – emosinya memang rapuh tapi hati mereka teguh.
‘’Sayang ni alim jugak ye. Tak sangka pagi tadi sayang marah bila Muslim tanya macam tu’’. Tertawa kecil Zahar. Anita mendengus.
‘’Abang, Ita rasa malu lah bila Muslim tanya soalan macam tu. Tak tahu nak jawab apa’’
‘’Alah, biasalah tu. Budak-budak…’’
‘’Biasa abang kata?! Bagi Ita tak biasa. Sekolah zaman sekarang ni harap je mengajar agama kat budak-budak, tapi tak nak terangkan sampai habis. Ibu bapa pulak jadi mangsa. Haihh..’’ Baharom tergelak. Tak senonoh betul gaya pemikiran Anita ni haha, fikirnya.
‘’Abang.. Ita rasa Ita dah fikirkan sesuatu lah pasal Muslim tu’’
‘’Apa dia?’’
‘’Ita nak kita hantar dia ke..’’
‘’Rumah anak yatim? HAHAHA.’’
“Ish bukanlahh. Ita nak Muslim masuk sekolah pondok’’
“Untuk apa pulak nak hantar dia ke sekolah pondok ni? Nak dia jadi budak kampung?’’
“Yelah, sekurang-kurangnya.. kalau ada soalan agama pelik-pelik, boleh terus tanya ustaz-ustaz situ. Takdelah abang tersedak kopi macam pagi tadi’’
“Sentap nya bebi. Kahkah. Awak rasa dia nak ke?”
“Hm. Kena tanya dia dulu lah” . “Jom bagitahu dia”.. Anita menarik tangan Zahar untuk bangun dari katil. Zahar mengeluh malas – sengaja memberatkan badan. Akhirnya dia bangun juga. Senyum lurus. Sudah masak perangai isterinya ; mahu juga pergi malam seolah esok paginya kelam.
**
Anita memulas tombol. Pintu bilik tidak berkunci. Bilik anaknya masih cerah. Kelihatan Muslim sedang meniarap di atas karpet sambil ghairah melukis potret wajah ayah ibunya – dengan versinya tersendiri. Terdengar pintu dibuka, lantas memandang ke belakang. Ibu dan ayahnya! Dia memang mahu tunjukkan ‘’potret’’ itu.
‘’Mak, Baba.. cantik tak Muslim lukis?’’ katanya sambil berposisi meniarap.
Anita tidak mengendahkan. Terus kepada tujuan.
‘’Muslim, bangun kejap’’ , Mengangkat anaknya ke katil. ‘’Mak nak cakap kejap dengan Muslim’’
‘’Ada apa mak?’’ , Muslim bingung.
‘’Muslim nak masuk sekolah pondok belajar agama-agama tak?’’
‘’Tak nak!’’, Dahi Muslim mengerut. Wajahnya geram.
“Kenapa sayang?’’
“Nanti jadi orang jahat. Muslim tak nak bunuh orang’’
“Jahat kenapa pulak Muslim?”, Zahar mendekati anaknya.
“Orang kuat agama kan banyak bunuh-bunuh”
“WHATTTTTTT!’’ Anita dan Zahar terjerit serentak. Terlopong mulut mereka!
“Muslim, listen!’’, Anita memegang kedua-dua bahu anaknya ‘’Mak tak tahu mana Muslim belajar semua ni. Tanya pelik-pelik pasal Tuhan, cakap bukan-bukan, pastu..’’
Zahar menguap kuat ‘’Yelah dah awok tak ngajor budak tu mana la dia tahu’’
“Hello they have ustaz-ustazah what dekat sekolah. Diorang ni ajar ke tak?”, “Mak tak kira! Mak nak Muslim masuk sekolah pondok jugak. Jadi ustaz!”
Wajah si anak kecil itu merah. Matanya berkaca. ‘’Muslim tak nak..’’ . Kakinya dihentak-hentak sambil meraung kuat, “Baba.. Muslim taknak! Muslim nak jadi orang kerja lukis-lukis… Cakap kat mama muslim taknak jadi ustaz…’’ menangis anak itu dibuatnya. Dia masuk ke dalam selimut. Membungkus seluruh badan. Terdengar esakan kecil seorang anak – yang punya cita-cita besar; menjadi seorang pelukis.
‘”Suka hati korang lah labuuuu..’’ Zahar mengeluh.






*****
            ‘’Ponnn..pon!’’, Zahar menghonkan kereta. Sudah hampir 15 minit dia dan Muslim menunggu Anita keluar dari pintu rumah. Kelihatan dari jauh, Anita keluar terkedek-kedek memakai kasut tumit tinggi 5 inci nya, berlari-lari ke pintu kereta sambil membetulkan skirt pendek merahnya.
“Awak, kita ni nak pergi sekolah pondok hantar Muslim, bukan nak pergi shopping. Yang make-up berinci-inci tebal kalah kulit kusyen kereta tu kenapa?’’, Zahar menggeleng-geleng kepala sambil memusing stereng.
Anita terkejut, ‘’Abang, ini hak saya. Takkan lah perlu ada tempat tertentu pulak dekat mana saya boleh berpakaian macam ini dan tak boleh. Hatta ustaz pondok tu pun dia tak ada hak menentukan pakaian apa yang perlu saya pakai.” Anita geram. Mulut merahnya dikemam.
‘’Yelah.. tapi macam tak sesuai dengan tempat ler sayang’’
Anita memegang dadanya sambil menarik nafas dalam. Dalam-dalam. ‘’Abang, dalam Perkara 10 kurungan 1 kurungan A, Perlembagaan Persekutuan dah disebutkan bahawa setiap rakyat Malaysia mempunyai kebebasan untuk mengekspresikan diri mereka. Kalau saya selesa berpakaian macam ni, jadi ini hak saya untuk bebas ekspresikan diri saya macam ini. Dalam artikel tu dia tak tulis lah, ‘every citizen has the right to freedom of speech and expression kecuali depan Pak Ustaz’ ’’.
“Mak…’’
“Muslim jangan masuk campur lagi okay. Mak nak tengok dulu Baba kamu nak balas apa’’
Zahar abaikan Anita. Dia tak mampu memberi jawapan balas, sejujurnya. Beristerikan seorang aktivis feminis bukan suatu perkara mudah dibandingkan dirinya – seorang pensyarah ekonomi di sebuah universiti tempatan.
‘’Mak, tengok tu. Cantik kan patung-patung situ?’’, Muslim menunjuk jari pada kuil Hindu besar di tepi jalan yang baru berlepas dari sisi kanan mereka.
Anita ternganga. “Ya Allah Muslim kenapa tengok Tuhan orang Hindu tu? Tak baik! Tutup mata cepat’’
“Kenapa tu Tuhan orang Hindu pulak, mak?”
“Sebab orang Hindu sembah Tuhan tu”
“Oh, tapi dia tu masih Tuhan kan?”
“Ye sayang Muslim. Tapi dia Tuhan tipu”
“Macam mana nak kenal Tuhan tipu dengan Tuhan tak tipu? Kenapa ada banyak sangat Tuhan kat sini? Ada Tuhan orang Hindu, Tuhan orang cina, Tuhan orang Melayu, Tuhan orang Kristian… lepastu Tuhan mana satu yang betul?”
“Haaa jawab-jawab..’’ Tergelak sinis Zahar
Anita menghela nafas lantas mengeluh kuat. Cepat-cepat dia toleh ke belakang. ‘’Muslim, mari sini jap’’. Muslim lantas mendekatkan badannya ke arah ibunya. ‘’Ye mak’’, tanpa soal.
‘’Panggg!’’. Sekali Anita menampar pipi mulus anak kecilnya. Dia menoleh ke depan semula dalam keadaan puas!
Muslim terkedu. Airan jernih bergenangan di mata comel anak itu. Ibarat kolam jernih dipenuhi kaca-kaca berkilauan yang terbit dari mata anak yang mempunyai rasa ikhlas ingin tahu.
“Yang awak ni pergi tampar dia kenapa Anita?!” Zahar sudah tidak tahan. Memanglah dia rasa marah juga dengan Muslim, tapi tindakan Anita tak kena gaya.
“Huh. Sayang anak tangan-tangankan, bang’’
“Kalau ye pun bagitahu lah elok-elok’’
“Hah abang bagitahu lah kalau abang punya bagitahu tu elok sangat’’. Muslim memandang ibu bapanya sambil mengesat air mata perlahan. Zahar memberhentikan tiba-tiba. Dia memandang Anita sekilas.
‘’Muslim, Tuhan yang betul tu Tuhan kita. Tuhan yang lain tu semua Tuhan tipu’’. Bibir Muslim terukir sedikit senyuman mendengar jawapan ayahnya. ‘’Kalau tak betul, kenapa diorang sembah Tuhan tak betul?’’
‘’Sebab mereka tak tahu’’
‘’Kenapa diorang tak tahu?’’
‘’Kita la yang kena bagitahu diorang’’ Zahar mengukir senyuman mata sepet ala-ala artis Korea Jong Kook.
‘’Nanti Muslim nak kena bagitahu macam mana? ‘Heyy awak, berhenti sembah Tuhan tipu. Sembah Tuhan betul saya!’.. ok tak?’’ Muslim kembali riang.
‘’Ye betul.. okey sangat Muslim’’ Toyota Vios kelabu meneruskan perjalanan ke Sekolah Pondok An-Najah.







BAB 2
            “Ustaz, kami harap ustaz dapat didik anak kami dengan baik’’, Zahar mengerutkan muka. Memandang dari jauh anaknya berkenal-kenalan dengan pelajar-pelajar di situ – berjubah putih, berserban – hatinya sedikit lega ; dia benar-benar berharap Muslim mampu menjadi sebahagian dari mereka.
‘’Betul tu ustaz. Sekolah biasa dah tak boleh pakai sekarang, semua jadi teruk-teruk. Yang lelaki jadi mat rempit, perempuan pulak jadi bohsia.. macam-macam’’ Anita menyampuk.
Ustaz Mansor tersenyum sinis. ‘’Jadi puan ni mesti lepasan sekolah biasa kan?’’, sambil mengurut-ngurut janggutnya dia memandang Anita dari atas ke bawah.
 ‘’Aih kenapa ustaz cakap macam tu pulak?!’’. Cepat-cepat Zahar sampuk.
“Babaaa.. babaa" Muslim berlari dari jauh menjerit-jerit nama bapanya. Sekilas ketiga-tiga Anita, Zahar dan Ustaz Mansor memandang ke arah tubuh kecil yg lincah itu.
"Baba, Muslim kena duduk sini sampai bila?", Muslim mendongak ke atas muka ayahnya sambil meramas-ramas pinggang baju merah yang dipakai bapanya.
Zahar sedikit hiba. Dia memegang wajah anaknya dengan penuh cinta "Jangan risau, Muslim duduk sini sekejap saja ya"
"Ehem..", Ustaz Mansor buat-buat batuk. "Nampaknya hari dah nak lewat senja. Apa kata tuan tinggalkan dulu Muslim di sini. Lepas ni kalau nak jumpa lagi boleh jumpa setiap hujung minggu"
"Baiklah kalau macamtu Ustaz" Anita akur.
"Mama baba, tak boleh ke Muslim duduk rumah je?”
“Muslim kena duduk sini, sayang. Mama dengan Baba banyak kerja”, Anita mengesat air matanya.
Muslim sedu. “Nanti kalau Muslim rindu Mama dengan Baba macam mana?”
“Mama pun, saying”, balas Anita sambil memejamkan kedua belah matanya, dahi Muslim dikucup.



“Amboi Muslim, aku panggil dari jauh pun dah tak dengar”
Muslim menggeleng-geleng kepala. Kelihatan lelaki berserban putih bersama tasbih di tangan menegur sapa. Astagfirullah. Dia memang begitu. Kalau melukis, fikirannya sentiasa melayang. “Din, aku tak perasan kau lah. Haha. Dari mana ni?”, Muslim terus bangun bersalaman dengan Muhammad Izzudin bin Raihan Nazri.
“Ah kau ni dulu waktu lukis muka perempuan mana entah pun tak perasan aku jugak’’, Izuddin selamba duduk di sebelah Muslim.
“Itu mak aku lah. Kau nak tahu kenapa harini aku lukis pagar depan tu?’’, jari telunjuk Muslim tepat menunjuk pada besi-besi karat yang dikelilingi pohon bunga yang sudah mati, itulah pagar utama Sekolah Pondok An-Najah. Sekilas kedua-dua mereka terpandang tulisan di pagar ‘Tolong agama Allah, Allah akan menolong kamu’. Tulisan yang suatu masa dahulu pernah menyambut mereka buat pertama kali sepuluh tahun yang lepas.
“Kenapa? Mungkin pagar itu simbolik tempat ni?”
“Salah”, Muslim menghela nafas. “Sebab sepuluh tahun lalu, pagar tu jadi saksi betapa manisnya kucupan terakhir seorang ibu”
“Oh mak kau dah meninggal?”
“Tak. Em, maksud aku harapnya tak”
“Maksud kau apa? Jangan buat ayat macam keling boleh tak”
“Oi Din ‘racist’nya kau main keling-keling. Kalau dengar depan orang India luar sana sah kau dah kena hempuk”, Muslim menjeling lantas mengemas lukisan yang masih berbaki separuh tidak habis. Dia memang begitu. Baginya, kawan-kawan lebih penting dari hobinya yang boleh diluangkan pada bila-bila masa.
“Kenapa ‘racist’ pulak? Kenapa aku kena hempuk dengan orang India pulak? Keling betul lah kau ni hahaha”
“Din, kau nak tahu kenapa? Mak aku ada beritahu perkataan keling ni datang dari zaman dahulu apabila perempuan-perempuan India suka pakai gelang kaki. Kalau diorang berjalan, akan bunyi ‘kling kling kling’. Disebabkan bunyi itu, orang akan panggil perkataan ‘keling’ yang jijik itu untuk mengejek”
Izzudin ketawa berdekah-dekah.
“Mana mak kau dapat cerita ni? Haha get your facts right, man. Keling tu berasal dari perkataan Kalinga, empayar tua dekat India bro. Syarikat Hindia Timur dulu yang diketuai Francis Light di Pulau Pinang pernah wujudkan satu jawatan untuk India Muslim, nama jawatan tu Kapitan Keling. Sama jugak jawatan Kapitan Cina untuk masyarakat Cina. Dekat mana ‘racist’nya? Tahu tak kisah lelaki di Pulau Pinang yang bernama Kapitan Keling Kader Mydin? Dia lah yang bersungguh-sungguh dapatkan tanah dan kelulusan Francis Light untuk bina masjid khas India Muslim di situ. Waktu itu tahun 1801. Dan sampai sekarang, masjid tu dikekalkan dengan nama Masjid Kapitan Keling. Kalau perkataan keling tu jijik dan menghina, kenapa masyarakat India Muslim di Pulau Pinang sanggup namakan masjid sempena perkataan keling? Diorang sendiri pun dirujuk sebagai masyarakat keling..”
Muslim ternganga. Din ini Nampak seperti budak tahfiz biasa, tapi ilmunya luar jangkaan! Memang patutlah Izuddin menjadi ketua pelajar di Sekolah Pondok ini.
“Mana kau tahu semua ni, Din?”
“Baca bukulah Muslim. Tak semestinya kita pelajar agama, ilmu kita hanya di takuk agama sahaja. Dan ruang belajar pulak, bukan hanya dalam kelas sahaja. Merata-rata kita boleh belajar. Dari buku, engkau, aku, pokok, semut, langit, dan dari pensel yang kau guna untuk melukis ni sekalipun”
Kali ini Muslim tersenyum. “Ok. Apa yang kita dapat belajar dari pensel ni?”, dimainkan pensel dengan jari-jemarinya sambil menunggu jawapan yang memang dia sudah tahu. Persoalan dan jawapan yang diilhamkan ketika melukis draf wajah ibunya seminggu yang lepas.
Tersenyum sinis Izzudin dibuatnya. Masakan Muslim bertanya soalan yang sering diulang-ulangnya dalam kuliah subuh sejak minggu lepas. “Kau pun tahu jawapannya”, Izzudin merampas pensel dari tangan Muslim, “Sebatang pensel yang Nampak tak berguna ini aku boleh guna untuk mencederakan orang. Tapi itu bukanlah fungsinya kerana fungsi sebatang pensel ini adalah untuk menulis dan memudahkan orang menulis. Kalau ia gagal menjalankan fungsinya sejak penciptaannya sebagai sebatang pensel, maka gagal lah ia dalam fungsinya”.
“Ya. Begitu juga kita sebagai manusia yang diciptakan Allah sebagai khalifah di muka bumi. Jika kita gagal memakmurkan bumi malah merosakkannya, kita ini gagal sebagai diri sendiri”, Muslim menambah.
Izuddin tersenyum melihat rakannya, “Pensel ini juga akan disiat-siat kulitnya setiap kali tumpul. Proses penajaman bukanlah mudah, malah memerlukan orang lain. Sama juga apabila pensel ini membuat kesalahan, ia memerlukan sebiji pemadam untuk memadam kesalahannya dan mampu membetulkan kesilapan lalu. Sebab itu kita sebagai manusia tidak boleh berseorangan. Kita perlukan sahabat dan orang lain untuk menjadikan kita sempurna sebagai seorang khalifah”, Izuddin merangkul bahu Muslim. Kehangatan aura persahabatan dan kasih sayang dirasa.
“Dan jangan lupa, pensel ini juga akan mengalami proses yang menyakitkan hanya untuk menajamkan diri dan kualiti hasilnya. Sebab itu dalam hidup ini kita akan tempuh pelbagai dugaan. Waktu dugaan itu datang melanda, kitalah insan yang paling patut bersyukur kerana dugaan itu bukanlah melemahkan malah menguatkan”, Muslim menambah.
“Benar sekali”, Izzudin meneruskan bicara, “Di akhir hayat sebatang pensel ini, apa yang dikenang bukanlah harga atau nilai kecantikannya. Tapi jasa dan hasilnya lah yang akan dikenang dan membuatkan pensel ini amat berharga”
“Ya dan sebab itu jugalah Syed Qutb pernah berkata bahawa satu peluru hanya mampu menembus satu kepala, tapi satu tulisan mampu menembus ribuan malah jutaan kepala”, Muslim menambah.
“Dan hari ini Syeikh Izzudin juga berkata satu peluru itu hanya pada satu-satu masa, tapi satu tulisan itu tembusannya zaman-berzaman”.
Mereka berdua tertawa kecil. Wajah ceria dua sahabat seiring bersama cerianya langit jam 6 petang. Mentari waktu itu tidaklah bahang mana namun cerahnya mampu mencerahkan hati setiap pelajar yang giat mengadakan usrah pada petang itu. Hanya dua pelajar hebat, Muslim dan Izzudin sahaja masih terduduk santai di bawah pohon mempelam tua menghadap pagar utama di situ. Mereka bingkas bangun seusai Muslim mengemaskan semua set lukisannya.
“Assalamualaikum. Wah apa yang dimusyawarahkan ketua pelajar dan penolong ketua pelajar di sini, ya?”, tidak sempat mereka menggerakkan kaki berjalan, Ustaz Che Abdul Majid yang terkenal dengan jambang putihnya menyapa tiba-tiba.
“Waalaikumussalam Ustaz”, Muslim terus mencium tangan Ustaz Majid diikuti oleh Izzudin.
Izzudin mencelah, “Tak adalah musyawarah sangat ustaz. Borak-borak kosong sahaja”
“Apa yang antuma borakkan? Mahu kongsi bersama?”
Izzudin membuka mulut. “Kami berkongsi pendapat bagaimana kita sebagai seorang manusia boleh belajar banyak benda dari setiap perkara”
“Ya dan proses pembelajaran itu bukanlah di dalam kelas sahaja”, tokok Muslim.
“Jadi apa kesimpulan yang antuma berdua dapatkan?”
Izzudin berfikir. “Mungkin.. kita sendiri yang menentukan kita belajar untuk hidup atau belajar untuk pandai”
“Atau kita ini perlu belajar untuk pandai hidup”, celah Muslim.
“Mungkin juga hidup untuk pandai belajar”
“Dan pandai belajar untuk hidup?”
Mereka tergelak serentak. Ustaz Che Abdul Majid menggeleng-gelengkan kepala sambil mengukir senyuman nipis.
“Konklusinya apa anak muda?”
“Konklusinya belajarlah selagi hidup”, Muslim senyum. Diikuti Izuddin.
Ustaz Che Abdul Majid tersenyum bangga seolah-olah berjumpa dua permata yang perlukan lebih gilapan. Dia menepuk-nepuk di belakang Muslim dan Izzudin sebelum meminta izin pergi. Dalam hatinya memuji-muji dua anak muda yang kelihatan mampu mengubah dunia dengan idea mereka. Sosok kata-kata Bung Karno, ‘Berilah aku 1000 orang tua, nescaya akan kucabut semeru dari akarnya. Berikan aku satu pemuda, nescaya akan kugoncangkan dunia’.
Muslim dan Izzudin terus melangkah ke asrama mereka. Langit merah tanda senja sudah mula menunjukkan rupa.
Muslim terkumat-kamit mulut mahu mengatakan sesuatu.“Din, tadi kenapa kau kata Pagar Utama pondok ni menjadi simbolik tempat ni?”
“Bila aku tanya?”, pura-pura tidak tahu.
“Waktu aku suruh teka kenapa aku lukis pagar tu”
“Muslim, kalau kau perasan kan, pagar tu adalah pintu utama bagi pelajar dan ibu bapa untuk keluar masuk. Tapi kenapa pagar itu dibiar tidak terjaga sejak bertahun-tahun lamanya?”. Muslim terdiam. Izzudin menyambung bicara.
“Bagi aku, berkaratnya pagar besi itu melambangkan betapa lama dan berkaratnya sistem pendidikan di Sekolah Pondok kita. Mati dan kontangnya pokok-pokok di sekeliling pagar itu samalah dengan jiwa dan intelek pelajar di sini yang sudah mati”
“Aku tak faham. Apa yang dimaksudkan dengan sistem pendidikan berkarat dan jiwa ntelek pelajar yang sudah mati itu?”

“Suatu hari kau akan faham”. Izzudin tersenyum memandang ke hadapan. Muslim yang dari tadi terpinga-pinga melihat Izzudin melangkah ke asrama bersama kawannya.

Tuesday, 3 March 2015

Pendidikan sebagai alat perpaduan : Hapuskan Sekolah Vernakular SJKC, SJKT, juga Sekolah Agama!

Sebagai seorang perempuan yang mendapat pendidikan di Malaysia sedari kecil, saya yakin bahawa pendidikan di Malaysia ini mampu menjadi medium untuk memupuk anak-anak Malaysia dengan sifat patriotisme, kemanusiaan dan nilai-nilai murni yang lain. Yang menjadi bezanya adalah bagaimana ibu bapa mempraktikkan amalan ini di rumah bagi menjadi role model kepada anak-anak yang sentiasa mengikut tindak-tanduk orang tuanya. Namun, persoalan yang masih tidak dapat saya rungkai sehingga sekarang adalah, apakah pendidikan di Malaysia ini mampu menjadi alat kepada perpaduan semua bangsa di Malaysia dalam usaha berganding bahu memajukan negara bersama?

Idea Sekolah Wawasan bagi menggantikan sekolah vernakular (secara perlahan-lahan) yang telah dicetuskan Tun Dr Mahathir suatu masa dahulu sememangnya bertujuan mewujudkan perpaduan antara semua kaum di Malaysia bertetapan dengan Falsafah Pendidikan Negara yang menitikberatkan keharmonian dalam menimba ilmu. Pada tahun 2009 pula, tercetus satu artikel yang ditulis oleh Dr. Ridhuan Tee Abdullah mengenai isu 'sekolah perkauman' yang diterbitkan oleh majalah Al-Islam, di dalam artikel itu dituliskan bahawa sekolah vernakular di Malaysia begitu berbahaya dalam mewujudkan sifat perkauman yang akan mengakibatkan polarisasi kaum. Beliau juga membangkang sekeras-kerasnya kenyataan akhbar Gabungan Persatuan Guru-guru Sekolah Cina Malaysia (UCSTAM) dan Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina (UCSCAM) pada tahun 2008 yang mendakwa SJKC tidak menyebabkan perpecahan kaum, malah mempertingkatkan daya saing negara. Dan beliau bersetuju dengan idea Sekolah Wawasan atas keberkesanan sekolah itu yang dilihat mampu memecahkan tembok perkauman masyarakat di negara Malaysia. Baginya, pelajar Cina perlu didedahkan kepada persekitaran Melayu, dan pelajar Melayu perlu didedahkan dengan persekitaran Cina dalam usaha mencapai integrasi nasional.
Begitu juga apabila salah seorang ahli ekonomi negara, Tan Sri Dr Raymon Naravatnam mengakui bahawa sekolah kebangsaan lebih berkesan dalam meningkatkan taraf pendidikan negara memandangkan sekolah berasaskan bangsa seperti sekolah Cina dan sekolah Tamil mampu membantutkan perpaduan rakyat!

Pada hemat saya, hal yang sama perlu diteliti semula pada Sekolah Agama yang diwujudkan hanya untuk satu bangsa dan satu agama sahaja. Hal ini bermakna, masyarakat yang bukan beragama Islam tidak dibenarkan memasuki sistem sekolah berasaskan agama ini. Implikasinya tetap sama, di mana sekelompok manusia yang sama akan diasingkan atau lebih tepat dikumpulkan di dalam satu tempat sama, yang pada akhirnya di dunia luar, mereka akan mengasingkan diri dan berasa terasing. Bukan kedengaran satu dua kes sahaja lepasan pelajar sekolah agama didapati amat sukar untuk berkomunikasi dan bergaul dengan masyarakat bukan Islam malah lebih menyedihkan yang bukan Melayu.

Saya sebagai pelajar di universiti agama tempatan pun dapat merasakan kekangan kawan-kawan di univerisiti ini untuk bergaul dengan rakan bukan Muslim di luar universiti. Malah, keadaan pula bertambah buruk apabila sesetengah pelajar lepasan tahfiz di universiti ini dilihat kurang mampu bergaul dan bekerjasama walaupun dengan pelajar Islam yang bukan lulusan tahfiz di sini! Tidaklah saya disini ingin pula menuntut agar pusat tahfiz dihapuskan kerana saya tidak mampu nafikan kegunaan pusat tahfiz di Malaysia yang mampu melahirkan para pelajar tahfiz yang berwibawa dan bakal menjadi ulamak hebat suatu hari nanti. Namun perlulah kita ingat, ulamak bagaimana yang mahu kita lahirkan? Ulamak yang bersifat tertumpu hanya pada bangsanya, ulamak yang di''ulamak''kan atas nama politik agama, ataupun ekstremis agama, atau yang kita mahu lahirkan adalah ulamak yang mampu menghadapi cabaran global dengan menyatupadukan semua etnik di Malaysia atas syariat Allah dalam menyampaikan makna Islam itu sendiri? Berbicara tentang etnik di Malaysia, kajian yang dilakukan oleh Abdullah Taib (1984) menyatakan bahawa kadar interaksi di antara etnik di kalangan etnik Cina dan India adalah tinggi berbanding dengan etnik Melayu yang lebih tertumpu kepada etnik sendiri. Hal ini disebabkan masalah sikap etnosentrisme (pandangan yang menganggap cara hidup bangsanya yang paling baik; meremehkan masyarakat atau kebudayaan lain) masih menebal, dan kerana kebudayaan serta nilai dan norma yang berbeza.
Menurut Prof Dr. Mansor Mohd. Noor pula satu pertiga dari pelajar di IPT merasakan kesulitan dalam membina persahabatan dengan etnik lain. Keadaan menunjukkan etnik pelajar di universiti lebih cenderung untuk menjalankan aktiviti sesama etnik sendiri.
Mengamati kedua-dua kajian ini pun sudah membuat kita yakin bahawa wujudnya sekolah yang melibatkan satu bangsa dan satu agama ini mampu menjadi penghalang kepada integrasi semua kaum di Malaysia. Sesungguhnya, ketidakharmonian kaum bukanlah bermula tiba-tiba apabila seorang bayi mengingkat dewasa, namun puncanya ialah jika sedari bayi lagi dididik hanya bergaul dengan etnik sendiri, bersekolah di sekolah yang ada bangsanya sendiri dan tidak lupa juga universiti. Masalahnya tidaklah terletak pada bahu si bayi akan tetapi ibu bapanya sendiri yang masih berilusi dengan sejarah lama yang patut kita ketepi.

Ada juga yang berkata, Sekolah Agama patut diketepikan dari dikatakan menjadi isu kepada penghalang perpaduan atas sebab sekolah ini tidaklah mendiskriminasi bangsa. Cuma, seseorang itu perlulah memeluk Islam terlebih dahulu agar dia layak untuk dimasukkan ke situ. Saya fikir, orang yang bertanya itu perlu memberitahu dahulu berapa ramai bangsa bukan Melayu yang memeluk Islam di Malaysia, jumlah antara mereka yang berkesanggupan untuk belajar di Sekolah Agama dan keberkesanan jumlah itu dalam mengatasi perpecahan kaum yang sedang membuak di negara ini. Menurut Portal Rasmi Kerajaan Malaysia, jumlah penganut agama Islam yang dianuti masyarakat Bumiputera bukan Melayu hanyalah 36.3%. Melihatkan kepada jumlah ini, berapa ramai antara mereka yang memasuki Sekolah Agama sebagai ruang belajar utama? Satu? Dua? Tiga? Empat? Dan saya kira dengan jumlah ini, amatlah beza keterbaloiannya apabila kita menghapuskan satu sistem yang dinamakan Sekolah Agama. Dr Mohd Asri Zainul Abidin, Mufti Perlis pernah mengenengahkan isu ini, akan tetapi dari sudut yang sedikit berbeza iaitu dicadangkan Sekolah Agama agar membuka kuota kepada pelajar bukan Muslim untuk memasuki Sekolah Agama. Antara hujah beliau adalah untuk mengelakkan lulusan agama di negara ini menjadi 'defensive' agar ada keyakinan diri untuk bergaul dan memahami pendekatan yang sesuai dan dapat menyuburkan ilmu perbandingan agama. Dalam hal ini, saya kurang bersetuju dengan pendekatan beliau kerana dalam hal ketiadaan Sekolah Agama pun mampu untuk kita capaikan matlamat yang beliau harapkan. Masakan hanya di Sekolah Agama sahaja yang mampu menjadi ruang utama untuk pelajar belajar agama dan perbandingan agama? Adakah hanya di Sekolah Agama yang membuka ruang kepada pelajar bukan Muslim sahajakah yang mampu membina keyakinan diri pelajar Muslim untuk mendekati pelajar bukan Islam dan Melayu? 
Ditanya pula, apakah dengan menghapuskan Sekolah Agama akan dihapuskan sekali subjek-subjek agama yang kritikal dan mendalam di Sekolah Agama? Pelajar muslim perlu diberikan peluang untuk mendalami subjek agama Persekutuan dengan lebih mendalam kata mereka. Jawapannya mudah. Di sekolah kebangsaan biasa pun bukannya tidak ada subjek agama, dan apa yang kita perlukan sekarang cumalah mempertingkatkan mutu dan kualiti silibus pengajian agama itu sendiri. Kita tidak perlukan satu-satu tempat untuk mengumpulkan sejumlah pelajar untuk belajar agama dengan mendalam. Di sini, saya melihat keberkesanan Sekolah Kebangsaan bagi menjadi medan para pelajar yang berlainan agama dan bangsa untuk berkongsi dan bertukar pendapat dalam fahaman dan kebudayaan yang berbeza. Impaknya boleh dilihat apabila pelajar Melayu mampu bergaul dengan pelajar Cina dan India, dan pelajar Cina dan India mampu berinteraksi secara lebih akrab dengan pelajar Melayu, seterusnya kesemua bangsa major dan minor di negara kita ini dapat berganding bahu dalam memajukan negara yang sedang membangun dalam rangkaknya yang kadang laju kadang perlahan, Malaysia.
Dari ruang perspektif yang berbeza, ibu bapa juga lah yang bertanggungjawab dalam memastikan anak-anak mereka tidak hanya bersosial dengan rakan-rakan sebangsa dan seagama sahaja. Tindakan menghantar anak ke pra-sekolah satu bangsa dan satu agama sejak kecil benar-benar menjadikan seseorang itu mahu sahaja belajar di sekolah menengah yang berteraskan satu bangsa sahaja seterusnya hidup mereka akan menjadi susah apabila tidak dapat menyesuaikan diri dan bekerjasama dengan rakan agama dan bangsa yang pelbagai di universiti. Perkara ini semakin menekan pula apabila pelajar-pelajar ini menjadi pemimpin negara di mana implikasinya boleh dilihat sekarang di mana perjuangan politik bangsa melebihi perjuangan negara dan pendidikan Malaysia dipolitikkan sesuka-sukanya. 

Saya sangat berkeyakinan bahawa dalam membentuk bangsa Malaysia (bukan bangsa Melayu sahaja) dengan menegakkan sistem pendidikan yang sama, kerajaan mestilah berani dalam membuat keputusan yang difikirkan terbaik untuk negara dan semua bangsa di negara ini. Kerajaan tidak perlu takut andai tindakan ini akan menjadi punca besar kekalahan pilihan raya, kerana pada tahun 1978, Singapura yang telah menukar aliran menjadi satu sahaja dan ura-ura mengatakan pemimpin pada waktu itu akan kalah pilihan raya, berlaku sebaliknya. Namun jika keadaan di Malaysia tidak berlaku seperti di Singapura (baca : pemimpin semasa tidak kalah pilihan raya), kerajaan harus bersyukur kerana setidaknya telah berusaha dengan lebih progressif untuk membina Malaysia yang lebih baik. Saya akui sememangnya bukanlah semudah yang disangka bagi mewujudkan sekolah satu sistem, namun kita perlulah berusaha walaupun sebesar hama dalam melangkah ke arah strategi yang lebih bermakna. Inilah masanya kita perlu melupakan seketika (mungkin selamanya) isu ''kekitaan bangsa'' dan ke-eksklusifan agama dan bersama-sama memfokuskan pada pembangunan lahiriah dan rohaniah negara Malaysia. 


Shifa Asri
















Wednesday, 25 February 2015

Mana CINTA?



Sumpah
cinta ini benar benar buat aku merana
leka
buang masa
aku mula tertanya
apa ini benar cinta?
Atau mainan syaitan semata;
yang mahu aku lupa dan jauh dariNya?

Aku juga tertanya,
kalau ini cinta,
kenapa ia datang begitu saja -
pada waktu yang aku tak jangka?
Waktu aku yang harus diguna pada lain perkara?

Ya.
cinta itu tak mengenal masa.
Tapi kenapa aku harus namakan ia CINTA?
Apa hanya jika ia membuat hatiku berbunga
langsung ia dinamakan cinta?
Apa hanya aku terus merana kerananya
terus kita harus bilang cinta?

Kalau cucuh mana asapnya
kalau mati mana kuburnya?
Kalau CINTA mana Yang Esa?

-Shifa Asri-