Sebagai seorang perempuan yang mendapat pendidikan di Malaysia sedari kecil, saya yakin bahawa pendidikan di Malaysia ini mampu menjadi medium untuk memupuk anak-anak Malaysia dengan sifat patriotisme, kemanusiaan dan nilai-nilai murni yang lain. Yang menjadi bezanya adalah bagaimana ibu bapa mempraktikkan amalan ini di rumah bagi menjadi role model kepada anak-anak yang sentiasa mengikut tindak-tanduk orang tuanya. Namun, persoalan yang masih tidak dapat saya rungkai sehingga sekarang adalah, apakah pendidikan di Malaysia ini mampu menjadi alat kepada perpaduan semua bangsa di Malaysia dalam usaha berganding bahu memajukan negara bersama?
Idea Sekolah Wawasan bagi menggantikan sekolah vernakular (secara perlahan-lahan) yang telah dicetuskan Tun Dr Mahathir suatu masa dahulu sememangnya bertujuan mewujudkan perpaduan antara semua kaum di Malaysia bertetapan dengan Falsafah Pendidikan Negara yang menitikberatkan keharmonian dalam menimba ilmu. Pada tahun 2009 pula, tercetus satu artikel yang ditulis oleh Dr. Ridhuan Tee Abdullah mengenai isu 'sekolah perkauman' yang diterbitkan oleh majalah Al-Islam, di dalam artikel itu dituliskan bahawa sekolah vernakular di Malaysia begitu berbahaya dalam mewujudkan sifat perkauman yang akan mengakibatkan polarisasi kaum. Beliau juga membangkang sekeras-kerasnya kenyataan akhbar Gabungan Persatuan Guru-guru Sekolah Cina Malaysia (UCSTAM) dan Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina (UCSCAM) pada tahun 2008 yang mendakwa SJKC tidak menyebabkan perpecahan kaum, malah mempertingkatkan daya saing negara. Dan beliau bersetuju dengan idea Sekolah Wawasan atas keberkesanan sekolah itu yang dilihat mampu memecahkan tembok perkauman masyarakat di negara Malaysia. Baginya, pelajar Cina perlu didedahkan kepada persekitaran Melayu, dan pelajar Melayu perlu didedahkan dengan persekitaran Cina dalam usaha mencapai integrasi nasional.
Begitu juga apabila salah seorang ahli ekonomi negara, Tan Sri Dr Raymon Naravatnam mengakui bahawa sekolah kebangsaan lebih berkesan dalam meningkatkan taraf pendidikan negara memandangkan sekolah berasaskan bangsa seperti sekolah Cina dan sekolah Tamil mampu membantutkan perpaduan rakyat!
Pada hemat saya, hal yang sama perlu diteliti semula pada Sekolah Agama yang diwujudkan hanya untuk satu bangsa dan satu agama sahaja. Hal ini bermakna, masyarakat yang bukan beragama Islam tidak dibenarkan memasuki sistem sekolah berasaskan agama ini. Implikasinya tetap sama, di mana sekelompok manusia yang sama akan diasingkan atau lebih tepat dikumpulkan di dalam satu tempat sama, yang pada akhirnya di dunia luar, mereka akan mengasingkan diri dan berasa terasing. Bukan kedengaran satu dua kes sahaja lepasan pelajar sekolah agama didapati amat sukar untuk berkomunikasi dan bergaul dengan masyarakat bukan Islam malah lebih menyedihkan yang bukan Melayu.
Saya sebagai pelajar di universiti agama tempatan pun dapat merasakan kekangan kawan-kawan di univerisiti ini untuk bergaul dengan rakan bukan Muslim di luar universiti. Malah, keadaan pula bertambah buruk apabila sesetengah pelajar lepasan tahfiz di universiti ini dilihat kurang mampu bergaul dan bekerjasama walaupun dengan pelajar Islam yang bukan lulusan tahfiz di sini! Tidaklah saya disini ingin pula menuntut agar pusat tahfiz dihapuskan kerana saya tidak mampu nafikan kegunaan pusat tahfiz di Malaysia yang mampu melahirkan para pelajar tahfiz yang berwibawa dan bakal menjadi ulamak hebat suatu hari nanti. Namun perlulah kita ingat, ulamak bagaimana yang mahu kita lahirkan? Ulamak yang bersifat tertumpu hanya pada bangsanya, ulamak yang di''ulamak''kan atas nama politik agama, ataupun ekstremis agama, atau yang kita mahu lahirkan adalah ulamak yang mampu menghadapi cabaran global dengan menyatupadukan semua etnik di Malaysia atas syariat Allah dalam menyampaikan makna Islam itu sendiri? Berbicara tentang etnik di Malaysia, kajian yang dilakukan oleh Abdullah Taib (1984) menyatakan bahawa kadar interaksi di antara etnik di kalangan etnik
Cina dan India adalah tinggi berbanding dengan etnik Melayu yang lebih tertumpu kepada etnik sendiri. Hal ini disebabkan masalah sikap etnosentrisme (pandangan yang menganggap cara hidup bangsanya yang paling baik; meremehkan masyarakat atau kebudayaan lain) masih menebal, dan kerana kebudayaan serta nilai dan norma yang
berbeza.
Menurut Prof Dr. Mansor Mohd. Noor pula satu pertiga dari pelajar di IPT merasakan kesulitan
dalam membina persahabatan dengan etnik lain. Keadaan menunjukkan etnik pelajar di
universiti lebih cenderung untuk menjalankan aktiviti sesama etnik sendiri.
Mengamati kedua-dua kajian ini pun sudah membuat kita yakin bahawa wujudnya sekolah yang melibatkan satu bangsa dan satu agama ini mampu menjadi penghalang kepada integrasi semua kaum di Malaysia. Sesungguhnya, ketidakharmonian kaum bukanlah bermula tiba-tiba apabila seorang bayi mengingkat dewasa, namun puncanya ialah jika sedari bayi lagi dididik hanya bergaul dengan etnik sendiri, bersekolah di sekolah yang ada bangsanya sendiri dan tidak lupa juga universiti. Masalahnya tidaklah terletak pada bahu si bayi akan tetapi ibu bapanya sendiri yang masih berilusi dengan sejarah lama yang patut kita ketepi.
Ada juga yang berkata, Sekolah Agama patut diketepikan dari dikatakan menjadi isu kepada penghalang perpaduan atas sebab sekolah ini tidaklah mendiskriminasi bangsa. Cuma, seseorang itu perlulah memeluk Islam terlebih dahulu agar dia layak untuk dimasukkan ke situ. Saya fikir, orang yang bertanya itu perlu memberitahu dahulu berapa ramai bangsa bukan Melayu yang memeluk Islam di Malaysia, jumlah antara mereka yang berkesanggupan untuk belajar di Sekolah Agama dan keberkesanan jumlah itu dalam mengatasi perpecahan kaum yang sedang membuak di negara ini. Menurut Portal Rasmi Kerajaan Malaysia, jumlah penganut agama Islam yang dianuti masyarakat Bumiputera bukan Melayu hanyalah 36.3%. Melihatkan kepada jumlah ini, berapa ramai antara mereka yang memasuki Sekolah Agama sebagai ruang belajar utama? Satu? Dua? Tiga? Empat? Dan saya kira dengan jumlah ini, amatlah beza keterbaloiannya apabila kita menghapuskan satu sistem yang dinamakan Sekolah Agama. Dr Mohd Asri Zainul Abidin, Mufti Perlis pernah mengenengahkan isu ini, akan tetapi dari sudut yang sedikit berbeza iaitu dicadangkan Sekolah Agama agar membuka kuota kepada pelajar bukan Muslim untuk memasuki Sekolah Agama. Antara hujah beliau adalah untuk mengelakkan lulusan agama di negara ini menjadi 'defensive' agar ada keyakinan diri untuk bergaul dan memahami pendekatan yang sesuai dan dapat menyuburkan ilmu perbandingan agama. Dalam hal ini, saya kurang bersetuju dengan pendekatan beliau kerana dalam hal ketiadaan Sekolah Agama pun mampu untuk kita capaikan matlamat yang beliau harapkan. Masakan hanya di Sekolah Agama sahaja yang mampu menjadi ruang utama untuk pelajar belajar agama dan perbandingan agama? Adakah hanya di Sekolah Agama yang membuka ruang kepada pelajar bukan Muslim sahajakah yang mampu membina keyakinan diri pelajar Muslim untuk mendekati pelajar bukan Islam dan Melayu?
Ditanya pula, apakah dengan menghapuskan Sekolah Agama akan dihapuskan sekali subjek-subjek agama yang kritikal dan mendalam di Sekolah Agama? Pelajar muslim perlu diberikan peluang untuk mendalami subjek agama Persekutuan dengan lebih mendalam kata mereka. Jawapannya mudah. Di sekolah kebangsaan biasa pun bukannya tidak ada subjek agama, dan apa yang kita perlukan sekarang cumalah mempertingkatkan mutu dan kualiti silibus pengajian agama itu sendiri. Kita tidak perlukan satu-satu tempat untuk mengumpulkan sejumlah pelajar untuk belajar agama dengan mendalam. Di sini, saya melihat keberkesanan Sekolah Kebangsaan bagi menjadi medan para pelajar yang berlainan agama dan bangsa untuk berkongsi dan bertukar pendapat dalam fahaman dan kebudayaan yang berbeza. Impaknya boleh dilihat apabila pelajar Melayu mampu bergaul dengan pelajar Cina dan India, dan pelajar Cina dan India mampu berinteraksi secara lebih akrab dengan pelajar Melayu, seterusnya kesemua bangsa major dan minor di negara kita ini dapat berganding bahu dalam memajukan negara yang sedang membangun dalam rangkaknya yang kadang laju kadang perlahan, Malaysia.
Dari ruang perspektif yang berbeza, ibu bapa juga lah yang bertanggungjawab dalam memastikan anak-anak mereka tidak hanya bersosial dengan rakan-rakan sebangsa dan seagama sahaja. Tindakan menghantar anak ke pra-sekolah satu bangsa dan satu agama sejak kecil benar-benar menjadikan seseorang itu mahu sahaja belajar di sekolah menengah yang berteraskan satu bangsa sahaja seterusnya hidup mereka akan menjadi susah apabila tidak dapat menyesuaikan diri dan bekerjasama dengan rakan agama dan bangsa yang pelbagai di universiti. Perkara ini semakin menekan pula apabila pelajar-pelajar ini menjadi pemimpin negara di mana implikasinya boleh dilihat sekarang di mana perjuangan politik bangsa melebihi perjuangan negara dan pendidikan Malaysia dipolitikkan sesuka-sukanya.
Saya sangat berkeyakinan bahawa dalam membentuk bangsa Malaysia (bukan bangsa Melayu sahaja) dengan menegakkan sistem pendidikan yang sama, kerajaan mestilah berani dalam membuat keputusan yang difikirkan terbaik untuk negara dan semua bangsa di negara ini. Kerajaan tidak perlu takut andai tindakan ini akan menjadi punca besar kekalahan pilihan raya, kerana pada tahun 1978, Singapura yang telah menukar aliran menjadi satu sahaja dan ura-ura mengatakan pemimpin pada waktu itu akan kalah pilihan raya, berlaku sebaliknya. Namun jika keadaan di Malaysia tidak berlaku seperti di Singapura (baca : pemimpin semasa tidak kalah pilihan raya), kerajaan harus bersyukur kerana setidaknya telah berusaha dengan lebih progressif untuk membina Malaysia yang lebih baik. Saya akui sememangnya bukanlah semudah yang disangka bagi mewujudkan sekolah satu sistem, namun kita perlulah berusaha walaupun sebesar hama dalam melangkah ke arah strategi yang lebih bermakna. Inilah masanya kita perlu melupakan seketika (mungkin selamanya) isu ''kekitaan bangsa'' dan ke-eksklusifan agama dan bersama-sama memfokuskan pada pembangunan lahiriah dan rohaniah negara Malaysia.
Shifa Asri
No comments:
Post a Comment